Skip to content Skip to footer

Perceraian menurut undang-undang keluarga Islam bagi pasangan beragama Islam di Malaysia, perceraian diatur oleh undang-undang keluarga Islam. Perceraian dapat dibuat oleh suami atau isteri berdasarkan beberapa alasan yang diakui oleh pihak mahkamah, seperti perceraian dengan persetujuan atau dengan perintah mahkamah, perceraian taklik, perceraian fasakh dan perceraian tebus talak (khulu’)

Perceraian dengan persetujuan / dengan perintah mahkamah

Perceraian dengan persetujuan atau dengan perintah mahkamah bererti, seorang suami atau isteri membuat permohonan kepada mahkamah dengan mengisi borang-borang tertentu untuk bercerai sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk berbuat demikian. Borang tersebut perlu diserahkan kepada mahkamah dengan disertai akuan berkanun (surat sumpah) dengan memenuhi perkara yang berikut:

  • butir-butir perkahwinan, nama anak, umur anak (hasil daripada perkahwinan);
  • perkahwinan itu didaftarkan di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam dan salah satu pihak bermastautin dalam Negeri di bawah Enakmen tersebut;
  • butir-butir mengenai apa-apa perbicaraan terdahulu mengenai hal ehwal suami isteri, jika ada;
  • pernyataan mengenai sebab-sebab hendak bercerai;
  • pernyataan sama ada langkah-langkah perdamaian telah diambil;
  • syarat apa-apa perjanjian berkenaan dengan nafkah, tempat tinggal isteri dan anak-anak hasil daripada perkahwinan, penjagaan anak dan pembahagian apa-apa aset; dan
  • butir-butir perintah yang diminta.


Borang ini boleh diperolehi di Mahkamah Syariah di tempat yang berhampiran dengan pasangan suami/isteri tinggal atau bermastautin.

Perceraian taklik

Maksud cerai taklik ialah lafaz cerai yang dikaitkan dengan suatu janji yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah disempurnakan. Pada lazimnya, taklik tersebut menyebut antara lain –

  • sekiranya suami meninggalkan isteri lebih daripada enam bulan tanpa memberi nafkah zahir atau batin secukupnya; atau
  • sekiranya suami memukul atau mendera isteri atau mendatangkan mudarat kepada isterinya.

Isteri yang ditinggalkan atau dicederakan seperti di atas boleh mengadu kepada Mahkamah Syariah di kawasan yang berhampiran dengan tempat tinggalnya dan sekiranya pengaduan itu sabit dan disahkan oleh Mahkamah, maka terjadilah perceraian secara taklik. Perceraian taklik boleh juga berlaku apabila seorang suami membuat janji atau memberi amaran kepada isteri supaya melakukan atau meninggalkan daripada melakukan sesuatu.

Perceraian fasakh

Perceraian fasakh bermakna pembatalan atau pembubaran perkahwinan antara suami isteri melalui perintah Mahkamah. Seseorang isteri boleh membuat permohonan cerai fasakh kepada Mahkamah, antara lain, atas alasan seperti yang berikut, bergantung pada Negeri tempat dia tinggal:
(a) suami telah menghilangkan diri tanpa diketahui di mana berada selama tempoh lebih daripada setahun;
(b) suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri dan anak-anak selama tempoh 3 bulan;
(c) suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) suami tidak menunaikan nafkah batin tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun;
(e) suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang menghidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang menghidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) isteri telah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum ia mencapai umur enam belas tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur 18 tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) bahawa suami menganiayanya, iaitu, antara lain

  • lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
  • berkawan dengan perempuan- perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
  • cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
  • melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
  • menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
  • jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri berkenaan dengan secara adil mengikut kehendak kehendak Hukum Syarak; atau
  • apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau fasakh di bawah Hukum Syarak.

Perceraian tebus talak (khulu’)

Perceraian tebus talak atau khuluk ialah suatu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan memberi wang atau harta benda lain kepada suaminya. Antara sebab yang membolehkan seseorang isteri mendapatkan tebus talak daripada suaminya ialah –
(a) isteri tidak tertahan lagi tinggal dengan suaminya kerana suami berperangai jahat;
(b) suami menyakiti hatinya menyebabkan isteri telah kehilangan kasih sayang terhadap suami;
(c) kerana sebab-sebab lain yang membuat mereka tidak dapat bercampur atau bergaul dengan aman dan harmoni. Mahkamah mempunyai budi bicara untuk meluluskan permohonan perceraian khuluk walaupun pihak suami tidak memberi persetujuan sekiranya Mahkamah berpendapat bahawa suami isteri tersebut tidak dapat hidup bersama dengan damai dan selaras dengan kewajipan mereka.

Khairul Anan & Partners menyediakan perkhidmatan peguam syariah bagi menangani isu anda. Berpengalaman mengendalikan hal perundangan yang membabitkan penceraian menurut undang-undang keluarga Islam.