Skip to content Skip to footer

Harta Sepencarian bermaksud harta yang diperolehi oleh suami dan isteri bersama-sama sepanjang perkahwinan yang sah di mana kedua-dua pihak memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung terhadap perolehan harta tersebut.

Harta sepencarian termasuklah harta alih seperti wang ringgit, kereta, saham dan sebagainya dan harta tak alih iaitu sebarang bentuk hartanah dan rumah atau apa-apa aset dan modal yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan.

Undang-Undang dan Mahkamah Syariah di Malaysia mengiktiraf sumbangan isteri keatas perolehan harta sepencarian samada sumbangan secara langsung berbentuk wang ringgit atau sumbangan kasih sayang isteri kepada suami serta anak-anak mereka, penat lelah dalam menjaga dan menguruskan kehidupan keluarganya dan pengorbanan juga dianggap sebagai sumbangan secara tidak langsung daripada pihak isteri dalam harta sepencarian.

Tuntuan harta sepencarian

Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian.

Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan. Tuntutan harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan. Seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.

Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.

Khairul Anan & Partners menyediakan perkhidmatan perundangan peguam syariah bagi menyelesaikan isu anda. Berpengalaman mengendalikan hal-hal perundangan keluarga Islam yang membabitkan tuntutan harta sepencarian menurut bidang kuasa undang-undang keluarga Islam.